7 remaja diberkas curi motosikal
ALOR STAR: Tujuh remaja lelaki diberkas berhampiran sebuah rumah di sini dua hari lalu kerana disyaki terbabit dalam kes kecurian motosikal di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Kota Star ACP Abdul Ghafar Rejab berkata remaja berumur antara 16 dan 19 tahun itu direman selama empat hari mulai semalam.
Katanya seorang daripada remaja itu mengaku mencuri tiga buah motosikal jenis Honda EX5 di bandaraya ini kelmarin di tiga lokasi iaitu di Hospital Sultanah Bahiyah, Simpang Kuala dan stesen bas Shahab Perdana.
“Selain itu, remaja itu turut mengaku terbabit dalam beberapa kes kecurian motosikal sebelum ini,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Abdul Ghafar berkata siasatan awal mendapati remaja terbabit melakukan kegiatan jenayah itu untuk menjual alat ganti motosikal.
Beliau meminta kerjasama orang awam untuk melaporkan kepada polis sekiranya melihat lambakan motosikal di sesuatu kawasan supaya polis boleh membuat siasatan.
SUMBER :
http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Mutakhir/20081007165141/Article