Tak takut dosa, ketagih
KUALA LUMPUR: “Dalam hati mereka, Tuhan sudah mati,” kata pendakwah, Mohd Zawawi Yusoh, mengenai kecenderungan segelintir masyarakat melakukan maksiat termasuk berkhalwat ketika bulan Ramadan.
Katanya, pelaku maksiat terbabit juga tidak takut dengan dosa berikutan ketagih melakukan maksiat.
“Orang seperti ini seolah-olah menganggap Tuhan sudah mati dalam hati mereka selain tidak lagi takutkan dosa sebab bergelumang dengan dosa.
“Bagi mereka, sama ada puasa atau tidak, sama saja kerana gian melakukan perbuatan maksiat,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Semalam, muka depan Harian Metro melaporkan mengenai seorang pelajar perempuan hampir sasau dan seperti orang hilang akal apabila menangis teresak-esak sambil memohon ampun kepada pencegah maksiat, seolah-olah ibunya berada di depan matanya kerana rasa berdosa ditangkap berkhalwat pada malam Ramadan.
Gadis berusia 18 tahun yang juga pelajar sebuah universiti awam, dikatakan bercakap seorang diri dengan merayu dosanya dimaafkan ibunya walaupun ketika itu orang tuanya berada ratusan kilometer di kampung, di Kota Tinggi, Johor.
Ketika kejadian, gadis terbabit dikatakan mengambil kesempatan cuti hujung minggu bertemu buah hatinya bagi melepaskan rindu di sebuah rumah sewa di Kajang, Selangor.
Petugas Pertubuhan Sahabat Insan dan Iman Malaysia (Sidim) menyiasat dan menyerbu lokasi berkenaan Sabtu lalu, selepas menerima aduan daripada penghuni rumah itu yang tidak tahan dengan sikap buruk rakan serumah yang gemar melakukan maksiat.
Pasangan terbabit ditemui atas katil tanpa seurat benang dan apabila disoal, mereka mengaku sudah melakukan hubungan seks sebanyak dua kali.
Hasil pemeriksaan gadis berumur 18 tahun itu baru tiba dari Johor Bahru pada sebelah petang semata-mata untuk berjumpa kekasihnya.
SUMBER :
http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20081001023404/Article/index_html