Sambungan ISLAM dan Cinta bhg 2
Hikmah-hikmah Cinta
1. Sesungguhnya cinta itu adalah ujian dan dugaan yang paling keras untuk melihat tingkah laku seseorang. Ujian dan dugaan ini akan membentuk cara-cara dan taktik seseorang individu yang mencari cinta di dalam hidupnya. Apakah cinta itu akan tercapai melalui cara yang mulia dan tinggi ataupun melalui cara yang hina dan keji. Adakah ia akan bersikap melampau terhadap cintanya ataupun hanya mengambil cara yang sederhana sahaja untuk mencapai cintanya. Apakah ia benar-benar terpesona dengan orang yang dicintainya ataupun hanya untuk main-main sahaja. Kesemua persoalan ini akan diketahui sebaik sahaja ia melalui beberapa peringkat ujian dan dugaan.
2. Hakikat cinta yang ada hubung kaitnya dengan manusia adalah merupakan faktor yang paling penting kepada wujudnya ketamadunan serta dalam mengatur hal ehwal kehidupan manusia. Sekiranya tidak ada cinta maka tidak akan wujudlah manusia dan manusia tidak akan dapat membina ketamadunan dan ketinggian. Ringkasnya, tanpa adanya cinta maka tidak akan wujudlah sebarang aktiviti dan segala ciptaan.
3. Cinta adalah faktor asasi bagi menyambung kehidupan manusia dan juga untuk berkenal-kenalan serta mengambil faedah dari berbagai-bagai bangsa di samping mengkaji hakikat ilmu pengetahuan terhadap manusia, alam dan kehidupan.
4. Cinta jika elok bentuknya dan baik pula cara mengambil faedah darinya, adalah ikatan yang paling kukuh untuk membentuk kekeluargaan, menyatupadukan masyarakat dan mewujudkan keselamatan serta keamanan di seluruh pelusuk bumi. Selain dari itu ia juga dapat menyemaikan benih-benih rahmat, muhibah dan kasih sayang di kalangan manusia.
5. Hakikat cinta dan kasih sayang yang berdasarkan kepada keimanan apabila bersatu dengan hati maka ia akan membentuk segala keajaiban. Selepas itu dari semasa ke semasa ia akan melahirkan ciri-ciri ketinggian dan kemuliaan di alam besar seperti mana yang telah dibuktikan oleh masyarakat terdahulu di mana ciri-ciri kemuliaan yang mereka bina masih lagi menjadi contoh perbandingan di hari ini dan kesan-kesan peninggalan mereka masih lagi memberikan faedah kepada generasi-generasi terkemudian.
October 10th, 2008 at 6:05 am