Marilah mengajak kepada kebaikan dan jangan sekali-kali mengajak kepada kejahatan
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ دَعَا إِلَى هُدًى كَانَ لَهُ مِنْ الْأَجْرِ مِثْلُ أُجُورِ مَنْ تَبِعَهُ لَا يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْئًا وَمَنْ دَعَا إِلَى ضَلَالَةٍ كَانَ عَلَيْهِ مِنْ الْإِثْمِ مِثْلُ آثَامِ مَنْ تَبِعَهُ لَا يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ آثَامِهِمْ شَيْئًا
Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang menyeru kepada petunjuk dia akan memperolehi ganjaran seperti ganjaran orang-orang yang mengikutinya dengan tidak mengurangi ganjaran-ganjaran mereka sedikitpun dan sesiapa yang menyeru kepada kesesatan dia akan menanggung dosa seperti dosa orang-orang yang mengikutinya dengan tidak mengurangi dosa-dosa mereka sedikitpun”. (Sahih Muslim Bab Sesiapa Yang Mengadakan Satu Sunnah Yang Baik Atau Buruk Dan Sesiapa Yang Menyeru Kepada Petunjuk Atau Kesesatan.)
Keterangan hadis :
Petunjuk yang dimaksudkan di sini adalah amalan yang baik sama ada berupa ibadat atau bukan ibadat. Syarat sesuatu amal soleh yang merupakan ibadat pula mestilah berdasarkan kepada perintah Allah mengikut sunnah yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w.. Bersesuaian dengan bab yang dikemukakan hadith ini di dalamnya maka petunjuk yang dimaksudkan adalah seruan kepada beramal mengikut al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w. serta menjauhi perkara bid’ah yang bertentangan dengan sunnahnya.
Di dalam hadith ini terdapat galakan supaya mendahului orang lain di dalam kebaikan serta menjadi penganjur kepadanya dan seterusnya menjadi contoh kepada orang lain kerana orang yang menjadi ikutan di dalam amalan yang baik akan memperolehi sepenuhnya ganjaran amalan yang dilakukan oleh orang yang mengikutinya tanpa mengurangkan ganjarannya sedikitpun iaitu masing-masing memperolehi sepenuhnya ganjaran amalan tersebut.Termasuk di dalamnya adalah mendirikan institusi-institusi ilmu kerana ia akan melahirkan ilmuwan yang akan menjadi ikutan dan membawa manusia kepada petunjuk.
Begitu juga sebaliknya hadith ini merupakan ancaman kepada orang yang menjadi ikutan atau idola di dalam amalan-amalan maksiat kerana ia bukan sahaja menanggung dosa dari apa yang diamalkannya sahaja bahkan dosa orang yang terikut-ikut dengan perilaku buruk yang ditunjukkan olehnya. Lebih besar lagi ancaman adalah kepada penganjur sesuatu amalan maksiat atau orang yang mendirikan pusat-pusat yang akan mengeluarkan penggerak kepada amalan maksiat.
Hadith ini juga mengisyaratkan kepada kelebihan ahli ilmu kerana dengan ilmu seseorang itu mempunyai kemampuan untuk membezakan antara petunjuk dan kesesatan begitu juga antara sunnah dan bid’ah dan dapat menjelaskannya kepada masyarakat dengan lebih terperinci. Dengan kemampuan tersebut seseorang itu dapat memastikan amalannya yang menjadi ikutan atau apa yang diseru olehnya adalah merupakan petunjuk dan sunnah.
Kemudian ulama berselisih pendapat berkenaan orang yang menyeru kepada suatu perbuatan dosa lalu dia bertaubat dalam keadaan amalan tersebut terus diamalkan apakah terhenti dosanya disebabkan taubatnya atau tidak? Kebanyakan ulama mengatakan terhenti dosa kepadanya kerana taubat meruntuhkan apa yang dilakukan oleh seseorang sebelum ia bertaubat.
adaptasi dari sumber : http://darulkautsar.com/article.php?ArticleID=1170