AL-HULAIMI

Hidup ini merupakan satu perjalanan menuju ke akhirat… Berhati-hatilah… Berjaga-jagalah… Bertaqwalah…

Archive for January, 2009


Tanggungjawab Tanpa Cinta

baitmuslim09.jpg

“Kenapa mesti bercouple sebelum berkahwin?”, soal seorang ustaz dengan tegas.

“Mana mungkin sebuah rumahtangga mendapat keredhaan Allah jika permulaannya sudah tidak tentu hala!”, ujar seorang pendakwah dengan penuh yakin.

Segala nasihat tertuju kepada menyeru agar maksiat dihindarkan oleh mereka yang di usia muda. Jangan mulakan alam rumahtangga dengan dosa dan noda. Kelak binasa.

Tidak susah untuk memahami seruan ini. Itulah kehendak agama. Dosa tidak menjanjikan bahagia. Kebahagiaan letaknya pada ketaatan kepada Allah. Semua itu telah banyak saya ungkapkan di dalam artikel yang lalu. Sebahagian besarnya sudah termuat di dalam buku AKU TERIMA NIKAHNYA.

Dosa tidak menjanjikan bahagia.

Tetapi pastikah bahagia hanya kerana sudah terhindar dari dosa? Jika dosa itu derita, taat itu nikmat kebahagiaan, maka bahagiakah rumahtangga yang jauh dari dosa?

Soalan ini tidak boleh dijawab dengan bahasa praktikal oleh anak-anak muda yang baru menceburkan diri ke alam mencari dan memilih pasangan hidup. Perbincangan kali ini lebih merupakan sebahagian daripada tuntutan Begin with the End in Mind untuk mereka renungkan. Ada pun persoalan yang sedang saya ketengahkan ini, ia adalah untuk mereka yang sudah separuh atau suku jalan menempuh kehidupan berumahtangga.

Persoalan ini banyak mengganggu fikiran saya. Sedikit demi sedikit saya didatangi dengan kes-kes yang luar biasa. Mula-mula ia hanya sekali dua, tetapi lama kelamaan segalanya menjadi seperti timbunan tanah membentuk busut. Hingga tercetus suatu kebimbangan.

Satu demi satu rumahtangga retak dan ribut.

Bukan rumahtangga yang kotor dengan dosa. Bukan suami isteri yang lupa Tuhan. Rumahtangga ini adalah rumahtangga yang dibentuk menurut lunas-lunas Islam. Permulaannya bersih dari masalah pergaulan bebas, malah kedua pasangan ini ‘disatukan’ atas cita-cita Islam, dakwah dan perjuangan yang menemukan mereka.

Seorang ‘akhi’ dan seorang ‘ukhti’, dalam suasana taat kepada Allah… bersatu dalam sebuah Bait Muslim yang berslogankan Baiti Jannati (rumahku syurgaku). Perkahwinan mereka adalah apa yang diimpikan oleh setiap mereka yang mahu mencari separuh kesempurnaan beragama melalui jalan perkahwinan, yang terbina di atas asas taqwa.

Tetapi perkahwinan yang ideal ini sedang diuji. Sangka saya satu atau dua. Ia mungkin kes terpencil. Tetapi sedikit demi sedikit kes ini bertambah dan bercantum, hingga menghasilkan suatu kerisauan yang mendalam. Di manakah silapnya?

Terlalu sulit untuk saya lakarkan kes-kes yang membabitkan rumahtangga ini kerana ia amat sensitif. Rumahtangga seorang lelaki yang berfikrah Islam dan seorang perempuan yang berfikrah Islam, kecundang selepas perkahwinan menjangkau usia matang. Ada di antaranya yang membabitkan perbuatan-perbuatan suami, ada juga yang membabitkan masalah yang ditimbulkan oleh pihak isteri.

Ada suami yang berfikrah Islam, sama ada seorang ustaz mahu pun seorang profesional, mencemarkan rumahtangganya dengan perbuatan-perbuatan curang, bermain kayu tiga, malah ada yang menjadi abusive terhadap isteri dan anak-anak. Ada juga isteri yang berfikrah Islam, merosakkan rumahtangganya dengan perbuatan yang sama… hingga menjadi beban kepada fikiran saya untuk menanggung rahsia mereka.

Saya terpaksa beristighfar, menenangkan diri sendiri dan isteri, sebelum mampu untuk menyelami masalah seperti ini. Gerun dan kesah memikirkan rumahtangga sendiri. Segala yang diperlukan untuk membina rumahtangga dalam sebuah ketaatan telah dilakukan, tetapi saya sedang berdepan dengan insiden kehancuran rumahtangga seperti ini. Jika bukan silap berkaitan dosa dan taat kepada Allah, apa lagi yang tidak kena.

“Rumahtangga ini hanyalah sebuah tanggungjawab. Saya gagal menemui cinta. Saya tidak cintakan suami saya!”, salah satu kes yang saya tangani, tiba kepada jawapan yang dicari.

Saya kebingungan.

Biar pun kali ini jawapannya sungguh jelas dan terus kepada lubuk masalah, ia bukan satu atau dua kes, tetapi saya sedang menanggung beban kes yang berbilang.

akhiukhti.jpg

 

TIDAK BERTEMU CINTA

Jika mereka yang asyik berkasih sayang hingga lupa kepada batas-batas agama dalam sebuah pergaulan, nasihat lazim yang disampaikan kepada mereka adalah pada menyedarkan diri mereka tentang soal tanggungjawab. Perkahwinan bukan hanya soal cinta. Tanggungjawab harus dipikul bersama. Soal peranan masing-masing sebagai suami dan isteri, serta bakal ayah dan ibu mesti dilihat dari sudut agama.

“Kalau merancang perkahwinan, jangan rancang hanya ke pelamin, tetapi rancanglah hingga ke lampin!”, itu nasihat komprehensif saya kepada perkahwinan sepasang kekasih yang sebegini.

Tetapi bagi seorang Muslim dan Muslimah, yang mempunyai semangat agama yang tinggi, yang merelakan sebuah perkahwinan dibentuk tanpa pendahuluan yang lazimnya popular dalam masyarakat kebanyakan, terlalu berat untuk saya nukilkan, bahawa nampaknya mereka harus sedar bahawa perkahwinan bukan sekadar tanggungjawab. Ia harus diisi dengan cinta.

Cinta!

Bukan cinta ala Hollywood atau Bollywood, tetapi cinta yang itu. Perasaan yang mendatangkan bahagia.

Seperti kata Ustaz Pahrol Mohamad Juoi di dalam bukunya, Satu Rasa Dua Hati, tanda bahagia ialah apabila adanya tenang. Itulah cara mengukur bahagia. Bahawa di dalam sebuah rumahtangga, kebahagiaan itu boleh diukur dengan tahap ketenangan yang dikecapi oleh suami dan isteri. Jika suami beroleh tenang tatkala pulang ke pangkuan isteri, juga isteri hilang tekanan dan kerunsingan hidup tatkala pulang ke pangkuan suami, maka adalah tenang di situ. Adalah bahagia.

Sukar untuk saya ungkapkan bagaimanakah yang dikatakan sebuah rumahtangga tanpa cinta. Ini bukan kahwin paksa. Ia kahwin rela. Cumanya, demi menjaga agama, mereka tidak bercinta sebelum berumahtangga. Rumahtangga ini adalah rumahtangga orang sekarang yang mencuba resepi bercinta ‘orang dulu’, mengharapkan cinta selepas berkahwin, tetapi malangnya mereka gagal bertemu cinta.

collide.jpg

Izinkan saya meminjam kata-kata John Gray di dalam buku terbaru beliau yang mesti dibaca oleh mereka yang sudah menghadam buku awal Men Are From Mars, Women Are From Venus, iaitu buku Why Mars and Venus Collide:

As I travel the world, teaching the Mars and Venus insights, I have witnessed a new trend in relationships linked to increasing stress. Both couples and singles believe they are too busy or too exhausted to resolve their relationship issues, and often think their partners are either too demanding or just too different to understand. Attempting to cope with the increasing stress of working for a living, both men and women feel neglected at home. While some couples experience increasing tension, others have just given up, sweeping their emotional needs under the carpet. They may get along, but the passion is gone.” (muka surat xiv)

Mereka bertahan, tetapi emosi, keinginan dan cinta itu hilang. Segalanya adalah soal tanggungjawab, tentang peranan… tiada perasaan, cinta dan belaian.

Entahlah…

Apakah kerana pengaruh filem, pengaruh persekitaran, pengaruh tempat kerja, atau silap tarbiyah oleh gerakan-gerakan Islam yang mengacukan mereka ini semasa duduk dalam gelanggang tarbiyah, persoalan tanggungjawab tanpa cinta menjadi punca keruntuhan rumahtangga.

Ada yang tidak percaya… menempelak saya kerana menimbulkan isu ini tanpa hujung pangkal. Sangkanya, saya mahu lelaki multazim dan perempuanmultazimah ini bercinta dengan cinta mazhab Bollywood dan Hollywood. Tidak sama sekali.

Tetapi ada sesuatu yang masih dalam kerangka agama yang tidak kita sempurnakan, sekurang-kurangnya di peringkat menguruskan jodoh, sama ada oleh institusi Bait Muslim atau melalui medium keluarga.

MANIFESTASI

Kecacatan cinta dalam rumahtangga yang ‘Islamik’ ini terserlah, seawal tahun-tahun perkahwinan, malah boleh juga muncul selepas beranak pinak.

Suami akan berkahwin dua dengan alasan isteri pertama adalah pilihan jemaah manakala isteri kedua adalah pilihan hatinya! Isteri pula tanpa peruntukan agama untuknya menduakan suami, mencari cinta di luar.

Hubungan hambar antara dirinya dan suami, terubat dengan rakan sepejabat yang lebih understanding, lebih bijak mendengar dan memujuk, atau mungkin juga beralih minat kepada ustaz-ustaz dan ceramahnya. Asasnya, suami dan isteri, kedua-duanya mengkhianati perkahwinan pertama yang begitu ideal, kerana perkahwinan itu ada segalanya kecuali cinta!

TAQWA

Khutbah Nikah pada sunnahnya, terisi dengan ayat-ayat al-Quran yang dipilih dalam genre TAQWA. Ia adalah suatu peringatan daripada Nabi S.A.W bahawa rumahtangga yang diredhai Allah itu harus dibina di atas asas-asas taqwa. Persoalannya di sini, bagaimanakah kita memahami maksud taqwa?

Jika taqwa itu diertikan sebagai kepatuhan yang menyeluruh terhadap peraturan-peraturan Allah, datang pula soalan yang kedua, apakah itu peraturan Allah? Bagaimanakah keseimbangan dalam beragama dapat dibuktikan dalam kepatuhan ini?

SYARIAT ALLAH

Himpunan peraturan Allah SWT diperturunkan melalui wahyu, terhimpun di dalam hukum yang lima. Persoalan wajib, mandub, harus, makruh dan haram, sentiasa diambil kira oleh sebuah rumahtangga yang dibina di atas asas Taqwa. Inilah yang diberikan penekanan selama ini, bahawa sebuah rumahtangga yang diredhai Allah SWT itu harus mematuhi ketetapan Allah yang dihimpunkan di dalam apa yang disebutkan sebagai SYARIAT ALLAH atau SYARIATULLAH.

Menjaga halal dan haram dalam perbelanjaan.

Memelihara peraturan-peraturan Allah dalam persoalan rukun Iman dan rukun Islam.

SUNNATULLAH

Tetapi peraturan Allah juga merangkumi hukum kedua yang disebut sebagai hukum alam. Peraturan yang ditentukan Allah sebagai sistem alam dan manusia yang menghuninya. Sebagaimana hard science menzahirkan hukum Sunnatullah melalui peraturan kimia, fizik dan biologi, maka begitu jugalah soft sciencemenghimpunkan Sunnatullah melalui peraturan komunikasi, psikologi yang dalam hubungan percintaan, kadang-kadang orang sana menyebutnya sebagai chemistry!

Cinta bukan kefahaman. Bukan pengetahuan. Cinta tidak muncul sebagai hasil mengetahui pengertian ilmu cinta yang dicerna oleh akal. Tetapi cinta itu adalah hati dan perasaan. Allah mengurniakannya, dan manusia bertanggungjawab untuk mencari dan berikhtiar menyuburkannya.

Rumahtangga yang bersih dari dosa, adalah rumahtangga yang berjaya mematuhi Syariatullah, tetapi mungkin kehancuran itu masih melanda kerana Taqwanya tidak menyeluruh. Aspek-aspek Sunnatullah diabaikan.

1273.jpg

Seorang suami mungkin terlupa untuk melihat zaujah yang dikahwininya itu sebagai seorang perempuan. Perempuan itu, biar pun dipanggil sebagai ukti, atau dibahasakan sebagai enti, berjawatan ustazah, atau ketua Muslimat cawangan, dia adalah perempuan pada fisiologi, biologi, naluri dan perasaannya.

Mungkin selama ini suami lupa untuk membelainya, lupa menghargainya, lupa berusaha mengekalkan kehangatan perasaan di dalam sebuah rumahtangga. Suami yang ustaz, mujahid, haraki lagi manhaji ini, mungkin tidak serius dalam menelaah hadith-hadith Nabi SAW yang memperlihatkan passion baginda dalam mengekalkan suburnya cinta dalam sebuah rumahtangga.

Seorang isteri yang bersuamikan seorang pejuang, seorang ustaz atau seorang Ketua Cawangan sekali pun, tidak harus lupa bahawa suaminya itu tetap seorang lelaki.

Rumahtangga seorang akhi dan seorang ukhti, tetap sebuah rumahtangga seorang lelaki dan perempuan. Jika mereka bertaqwa dalam menjunjung Syariatullah, tinggal satu lagi persoalan, bagaimanakah pula Sunnatullah dalam hubungan mereka?

Sesungguhnya kejayaan menghindarkan diri dari pergaulan bebas serta bantuan institusi Bait Muslim, hanyalah ikhtiar kita untuk membina permulaan rumahtangga yang baik. Tetapi selepas berumahtangga, suami dan isteri harus peka dengan perkembangan emosi dan komunikasi masing-masing kerana ketaatan kepada halal dan haram hanya separuh dari maksud Taqwa.

Bagaimana dengan cinta? Bagaimana Sunnatullah ke atas lelaki dan perempuan yang dicipta-Nya?

Saya meratapi tragedi yang sedang merebak ini…

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur 

sumber :

http://saifulislam.com/?p=1850

1.5 juta rakyat Palestin sedia syahid - Hamas

 

KOTA BHARU, 24 Jan (Hrkh) - Kira-kira 1.5 juta rakyat Palestin di Gaza sedia mati syahid dan tidak sekali-kali akan mengangkat bendera putih biar pun diserang secara rakus rejim haram Yahudi.

 
   
   

Mereka bersedia meneruskan jejak sebagaimana dialami al Syahid Sheikh Ahmad Yassin, Rentisi dan Said Siam, bekas menteri luar Hamas yang menjadi korban keganasan Israel.

“Kami bukan lagi menangisi rumah, sekolah, hospital dan harta benda lain yang musnah dibedil tentera Yahudi sebaliknya kemuliaan sekarang untuk menghadapi mati syahid.

“Inilah cita-cita terbaik yang ada pada setiap rakyat ketika darah masih mengalir dan api masih menyala di bumi Palestin sekarang,” kata seorang pemimpin Hamas, Najis Suris Al Ghaza.Image

Beliau mendedahkan perkara itu pada program Solat Hajat Perdana dan Pelancaran Tabung Cakna Palestin di Stadium Sultan Mohammad Ke IV malam tadi.

Program tersebut dianjur kerajaan negeri, dihadiri lebih 10,000 rakyat Kelantan pelbagai kaum. Mereka senada mengutuk keras keganasan tentera Yahudi ke atas umat Islam di Palestin sekarang.

Najis berkata, umat Islam di Gaza sejak dahulu lagi yakin dengan janji Allah bagi memberi kemenangan kepada Islam dengan syarat umat menolong agamaNya.

Kata beliau pembunuhan ke atas umat Islam di Palestin oleh tentera Yahudi bukan perkara baru, malah ia berlaku sejak 1948 lagi apabila Israel menceroboh bumi Palestin.

ImageMenurutnya rentetan keganasan Yahudi dapat dilihat di Sabra dan Satila pada 1984 apabila ramai umat Islam mati dibunuh dengan kejam.

“Jangan mengharapkan Israel akan berdamai dengan umat Islam kerana ia tidak menjadi matlamat bagi mereka. Malah pemimpin Yahudi akan dianggap wira oleh rakyatnya apabila dapat melancarkan serangan ke atas umat Islam di Palestin.

“Pemimpin yang berjaya mencetuskan peperangan akan dipuji rakyat Israel. Bagaimanapun mereka lupa kekuatan sebenar hanya dimiliki Allah Taala,” katanya.

Katanya juga Hamas di bawah Perdana Menteri, Ismail Haniyah akan terus bersama rakyat bagi menghadapi serangan Israel.

Naib Presiden PAS, Dato’ Husam Musa berkata, derma yang dikutip malam tadi akan digunakan bagi membantu rakyat Palestin sama ada bantuan ubat, makanan atau apa sahaja keperluan lain.Image

Menurutnya program pelancaran Tabung Cakna Palestin diadakan bagi menggambarkan perkongsian penderitaan rakyat Kelantan tanpa mengira warna kulit dan agama terhadap umat Islam di Palestin.

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Mohd Fairuz Khairuddin berkata, sudah banyak resolusi yang dibuat di peringkat antarabangsa bagi mengutuk kekejaman Yahudi, namun mereka tidak pernah menghiraukannya.

Oleh itu katanya Malaysia sebagai anggota Persidangan Negara Islam (OIC) perlu melakukan sesuatu termasuk menyerahkan desakan bertulis kepada Setiausaha Agong Bangsa-Bangsa Bersatu bagi membawa Israel ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa.

Beliau juga mendesak resolusi yang diputus pada persidangan khas parlimen Malaysia bagi mengutuk kekejaman Israel baru-baru ini turut dihantar kepada Parlimen Kesatuan Eropah dan lain-lain pertubuhan peringkat antarabangsa.

“Namun berdasar kepada pengalaman lepas sebarang resolusi tidak pernah dihiraukan Yahudi, maka OIC perlu bertindak segera bagi menghantar pasukan pengaman ke Palestin.

“Persoalannya adakah OIC mampu menghantar pengaman seperti yang pernah dilakukan di Bosnia Hergovina sebelum ini,” katanya.

ImageBeliau juga berharap rakyat Malaysia kosisten memboikot produk yang ada kaitan dengan Amerika Syarikat dan Israel sebagai mengajar keangkuhan mereka.

Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua berharap Malaysia mengiktirafkan kerajaan Hamas di Palestin kerana parti itu telah memenangi pilihan raya yang diadakan beberapa tahun lalu.

Selain itu beliau meminta kerajaan mengambil langkah tegas termasuk memutuskan kerjasama pertahanan dengan Amerika Syarikat.

Ini kerana kata beliau negara kuasa besar itu berhasrat menguasai sepenuhnya bumi Palestin melalui tindakan kroninya Israel.

Pada akhir program itu pelbagai agensi kerajaan tampil mengisi Tabung Cakna Palestin.

Kerajaan negeri melalui Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Aiseri Alias menyumbang sebanyak RM500,000.

Lebih RM1 juta berjaya dipunggut malam tadi. - mj _

http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=019017&Itemid=85

Akibat Cinta, sanggup murtad

Video 1 

Video 2

Video 3

video 4

Video 5

Ke manakah Majlis Fatwa Kebangsaan?

Saturday, 3 January 2009

Ke manakah Majlis Fatwa Kebangsaan?

Ketika sekumpulan gadis-gadis bukan Muslim berarak membantah fatwa berkaitan ‘pengkid’ di ibu negara, ramai umat Islam merasakan tindakan kumpulan tersebut amat keterlaluan. Sikap tidak menghormati agama lain dan juga sentimen perkauman itu tidak dapat diterima oleh majoriti rakyat Malaysia. Walau bagaimanapun di satu sudut yang lain ramai yang berasa hairan apakah ‘besar’ dan ‘penting’nya isu pengkid dan tomboi itu untuk dijadikan agenda perbincangan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan?

Isunya adalah keutamaan…fiqh awlawiyaat!

Pada tahun 2006 saya pernah mengkritik tentang kealpaan ramai pihak di Malaysia di dalam isu memahami keutamaan sesuatu perkara. Khazanah ilmu yang diajarkan oleh Islam dan kemudiannya diolahkan semula oleh al-Qaradawi itu bagaikan tiada nilainya di Malaysia oleh pihak autoriti agama. Fiqh Awlawiyaat bagaikan halimunan di dalam kamus pentadbiran mereka. Memahami kedudukan mereka sebagai penjawat awam kerajaan dan juga kotak pembesar suara kepada pihak majikan, ianya bagaikan norma biasa.

Di waktu ini, saya sudah kembali ke Durham setelah hampir seminggu menyertai demonstrasi besar-besaran di London di hadapan kedutaan besar Israel di High street Kensington. Semenjak hari Ahad yang lepas (28 Disember 2008), para demonstran yang terdiri dari semua lapisan dan kumpulan masyarakat telah mengadakan bantahan di hadapan kedutaan tersebut. Keadaan yang sama berlaku di ibu kota negara-negara Eropah yang lain. Masyarakat sivil yang sedar dan bertamadun membantah tindakan tidak berperi kemanusiaan rejim Zionis.

Di sini umat Islam, Arab, Pakistan, Asia, Kristian, kumpulan berhaluan kiri, golongan Yahudi anti-Zionis, Yahudi Orotodoks dan semua kumpulan berhimpun. Mereka semua bersama di atas satu niat suci, membantah tindakan kebinatangan rejim Zionis di Gaza. Agak pelik, di dalam hampir sedozen siri demonstrasi di kota London yang saya pernah sertai, demonstrasi kali ini agak berlainan. Pihak keselamatan bertindak luar biasa, alah beberapa orang pemuda telah ditangkap. Namun, alhamdulillah tiada air gas dan bom pemedih mata yang ditembak. Tiada juga aksi polis membelasah para demonstran. Kesimpulannya keganasan terhadap rakyat sendiri seperti di Kaherah dan Amman tidak berlaku…

Dengar khabarnya di Malaysia juga sudah dianjurkan beberapa demo…peliknya tidak disekalikan. PR buat PR punya, dan BN buat BN punya…tak macam di London, demo bukan untuk cari political miledge….di Malaysia lain ceritanya.

Tak kisahlah itu orang politik, tapi ke manakah golongan autoriti agama?

Takkanlah para mufti takut mencemarkan jubah untuk tuun berdemo?

Setidak-tidak pun, buatlah majlis tergempar untuk mengeluarkan fatwa…

Tak pun keluarkan press statement…

Kemanakah pula JAKIM? YADIM? IKIM? Jabatan-jabatan agama negeri? Ketua-ketua agama negeri?

Terus terang ramai yang hilang kepercayaan terhadap golongan autoriti agama. Sikap jumud dan tidak pro-aktif mereka menyebabkan umat Islam menjadi keliru…agama hanya dijadikan alat untuk mencari makan dan publisiti. Agama difahami dengan kerangka yang begitu sempit. Isu Palestin merupakan isu yang mengundang sikap dan penglibatan mereka, tetapi ke manakah mereka?

Mungkin para siswa di Mesir kena bertindak berani. Buat resolusi bersama, jika kerajaan Mesir enggan membuka pintu sempadan Refah dan enggan membenarkan sukarelawan untuk membantu peperangan di Gaza, kesemua pelajar Malaysia akan pulang ke Malaysia dan mengosongkan univeriti al-Azhar! Bayangkan kerugian ekonomi yang akan kerajaan Mesir tanggung jika para pelajar dari dunia Islam meninggalkan bumi Kinanah.

Mungkin mereka mempunyai alasan yang tersendiri, namun sesuatu yang pro-aktif perlu diadakan. Rejim Mubarak perlu diajarkan…

Semalam, (2 Januari 2009) demonstrasi di hadapan kedutaan Mesir di London (Edgewear street) telah diadakan. Mesir merupakan dalang paling jahat di dalam isu pembunuhan rakyat Palestin. Kerajaan rejim Mubarak merupakan pembunuh utama rakyat Gaza.

Downdown Israel, down down Mubarak!

Maszlee
* Bersama saya di dalam siri-siri demo di London ini ialah mantan mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin…semoga beliau akan dapat merubah mentaliti beragama golongan autoriti agama di malaysia sepulangnya beliau ke Malaysia nanti.

Palestin: Tanggungjawab Persaudaraan Dan Kemanusiaan

Pembunuhan ganas yang dilakukan oleh Yahudi Israel di Gaza, Palestin amat memilukan. Ia bukan sahaja mencabar perasaan persaudaraan Islam atau ukhuwwah islamiyyah kita, bahkan ia mencemar dan mengotori nilai kemanusiaan sejagat.

Ketika artikel ini ditulis sudah hampir 400 rakyat Gaza yang dibunuh kejam. Di mana Amerika yang kononnya berjuang memerangi pengganas? Pelindung Israel tersebut pantang ada kegiatan yang dianggap ganas yang dilakukan mereka yang mendakwa muslim terus sahaja dia akan besar-besarkan dan tindakan memeranginya secara membabi buta akan dilancarkannya.

Namun setiap kali Israel melakukan keganasan, dialah yang akan mempertahankannya. Tidak jika Amerika itu digelar syaitan. Bahkan ketika Gaza diserang ganas oleh Israel ketika ini, Bush mengistiharkan HAMAS itulah pengganas. Malanglah umat Islam jika masih ingin mengharapkan dari Amerika.

Demokrasi yang kononnya hendak dijuarai oleh Amerika di dunia Arab hanyalah permainan politik semata. Umpamanya Mesir, sekalipun tampuk kuasa yang ada pada hari ini meminggirkan demokrasi dan mengkhianatinya, namun tampuk tersebut terus dipertahankan oleh Amerika disebabkan berbagai kepentingannya.

Antaranya, Mesirlah pada hari ini yang menghalang kemasukan bantuan melalui sempadannya dengan Palestin. Sukar bagi syaitan berwatak malaikat. Saya tidak pasti dengan lobi Yahudi yang kuat dalam politik Amerika, apakah Obama akan mampu berbuat sesuatu?

Beberapa hari saya menyertai demontrasi membantah kekejaman Israel di hadapan Kedutaan Israel di London. Bersama saya Saudara Maszlee Malik yang sedang menyiapkan Ph.D di sini. Beliau banyak menulis dan membabitkan diri dalam isu-isu Palestin. Juga Saudara Wan Saiful Wan Jan, orang melayu yang aktif dalam politik British dan menjadi calon Parti Liberal Konservatif di UK ini.

Ramai yang menyertainya. Bukan sahaja orang Islam dan Arab, turut sertai juga mereka yang bukan muslim yang terdiri daripada ‘orang putih dan tidak putih’ UK ini. Dato’ Seri Shahidan Kassim yang sekali lagi datang ke London juga turut hadir.

Selama seminggu demonstasi berjalan di London. Bukan sahaja di hadapan Kedutaan Israel, orang ramai turut berdemontrasi di hadapan Kedutaan Mesir kerana negara tersebut menutup sempadannya untuk bekalan makanan dan ubatan disalurkan kepada rakyat Palestin.

Hari Sabtu (hari artikel ini ditulis) demontrasi besar di seluruh London akan diadakan. Bantahan dibuat untuk menyelamatkan rakyat Palestin. Ia melepasi batasan kepuakan atau kepartian yang sempit. Jika sesiapa yang hendak membantah Israel pun masih nak kempen parti, ternyata otaknya sama dengan Israel.

Demonstrasi sebegini, mempunyai peranannya yang tersendiri. Saya juga mengharapkan umat Islam dan masyarakat dunia mengadakannya. Ya, bagi umat Islam sepatutnya tugasan kita lebih besar daripada sekadar tunjuk perasaan. Kita diwajibkan membantu saudara seislam kita yang ditindas atau dikejami dengan harta dan nyawa kita.

Firman Allah: (maksudnya)

“Dan apakah yang menghalang kamu (maka kamu) tidak mahu berperang pada jalan Allah dan (untuk menyelamatkan) orang-orang yang tertindas yang terdiri daripada kaum lelaki, perempuan dan kanak-kanak, iaitu mereka yang selalu (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! keluarkanlah kami dari negeri ini, yang penduduknya zalim, dan jadikanlah bagi kami daripada pihakMu seorang pemimpin yang mengawal (keselamatan kami), dan jadikanlah bagi kami dari pihakMu seorang pemimpin yang membela kami (dari ancaman musuh). Orang-orang yang beriman, berperang pada jalan Allah; dan orang-orang yang kafir pula berperang pada jalan taghut (pelampau). Oleh sebab itu, perangilah kamu akan pengikut-pengikut syaitan itu, kerana sesungguhnya tipu daya Syaitan itu adalah lemah”. (Surah al-Nisa, ayat 75-76).

Berdasarkan ini, kata al-Imam al-Jasas (wafat 370H):

“Adalah sesuatu yang diketahui umum bahawa telah menjadi iktikad seluruh kaum muslimin; apabila penduduk sesuatu negeri (kaum muslimin) dalam ketakutan dari serangan musuh, dan mereka tidak mampu menghadapinya merasa terancam negeri, nyawa dan kaum mereka, maka ketika itu wajib ke atas seluruh umat untuk keluar mempertahankan kaum muslimin dari serangan musuh. Ini adalah perkara yang tiada khilaf lagi di kalangan umat. Tiada sesiapa pun yang menyatakan harus dibiarkan ditumpahkan darah kaum muslimin” (Abu Bakr al-Jasas, Ahkam al-Quran, 4/312, Beirut: Dar Ihya al-Turath al-`Arabi).

Namun atas kekangan keadaan yang ada. Ramai para pemimpin umat Islam yang tunduk kepada kehendak Amerika, lalu mereka menjadi pelindung secara langsung atau tidak langsung kepada Israel. Lihat sahaja Mesir yang sanggup menutup sempadannya sehingga bantuan makanan dan ubatan tidak dapat sampai kepada rakyat Palestin, sehingga rakyat Palestin tidak dapat melepaskan diri kekejaman Israel.

Kita umat Islam menjadi umat yang tidak terdaya. Bukan sahaja bertindak, bahkan bersuara pun ramai yang takut. Tidak ramai pemimpin seperti Tun Mahathir Mohamad yang lantang dan berani untuk mengkritik dan berusaha membantah Amerika dan Israel. Ramai yang lain bergantung rahmat kepada Amerika. Bahkan bukan sedikit yang sedang ‘mengidam kerusi kuasa’ bertawakal harap dari Amerika.

Maka, di saat ini, sekurang-kurangnya demontrasi, atau apa sahaja bantahan yang tidak bercanggahan dengan Islam hendaklah dilakukan oleh umat Islam yang tidak berkemampuan. Demikian juga bantuan kewangan. Di Malaysia, sepatutnya mereka yang memegang tampuk-tampuk pentadbiran agama, sama ada yang berada di atas kerusi politik, atau istana perlu menjadi kelompok yang paling lantang membantah dan menghulurkan bantuan.

Saya terharu ketika berjumpa dengan sekumpulan wanita British yang tidak beragama Islam, mengikat serban Palestin di tengkok mereka dan memberitahu kami mereka akan mengambil cuti seminggu untuk menyertai bantahan terhadap Israel. Mereka mengedarkan risalah tentang kekejaman Israel.

Malanglah, jika yang mereka yang seperti ini membantah Israel, tetapi golongan yang diberikan amanah menjaga agama tenggelam dalam keempukan takhta dan membisu seribu bahasa. Di mana pula Majlis Fatwa Kebangsaan ketika ini? Tidak adakah fatwa tentang apakah kewajiban umat Islam dalam isu Palestin? Setelah berletihan dengan isu yoga dan pengkid, tidakkah mahu difikirkan isu Palestin pula?

Jika tidak, malanglah bagi umat Islam yang terdedah kepada dunia berita dan maklumat, tiba-tiba tidak mengambil endah tentang apa yang berlaku di Palestin dan tanggungjawab muslim membela saudara-mara kita kaum muslimin. Sabda Nabi s.a.w:

“Bandingan orang-orang mukmin dalam kasih-sayang, kesian dan simpati sama seperti satu jasad. Apabila satu anggota merasa sakit, maka seluruh angota lain turut berjaga malam dan demam”(Riwayat Muslim)

Islam bersikap adil. Islam tidak pernah menyatakan setiap mereka yang tidak menganut Islam itu adalah musuh Islam. Demonstrasi di seluruh dunia pada hari ini turut dilakukan oleh mereka yang bukan Islam. Islam hanya bermusuh dengan mereka yang melancarkan permusuhan dan kezaliman kepada umat Islam. Samada permusuhan itu atas kebencian kepada agama ini, atau atas sikap yang ingin menzalimi orang lain.

Kemudian, Islam tidak menerima dan membantah kezaliman di mana sahaja ia dilakukan. Samada ke atas muslim atau bukan muslim, samada kepada insan atau binatang dan alam. Kita membantah kekejaman ke atas saudara seakidah kita di Palestin atas nama Islam dan kemanusiaan. Orang lain membantah atas dasar kemanusiaan.

Jika mereka yang bukan Islam dizalimi, kita tetap akan membantah atas dasar Islam dan kemanusiaan. Ini kerana prinsip Islam merangkumi prinsip kemanusiaan sejagat. Namun jika ada yang langsung tidak membantah, maka dia tiada prinsip Islam dan prinsip kemanusiaan.

sumber : http://drmaza.com/home/?p=534#more-534